Malaysia temui dua kes pertama Varian Nigeria B1.525

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR, 5 Mac: Dua kes pertama individu yang dijangkiti Varian Nigeria Covid-19, yang juga dikenali sebagai B1.525, telah di temui di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kedua kes tersebut adalah dari dua warganegara asing yang telah tiba  di negara ini dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

“Kedua-dua individu warga asing terbabit didapati positif Covid-19 melalui ujian swab RT PCR dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) selanjutnya melakukan penjujukan genom penuh kerana mengambilkira sejarah perjalanan mereka.


“Analisis lebih lanjut menunjukkan adanya semua mutasi yang dilaporkan berkait dengan varian tersebut dan Ini termasuk mutasi “spike protein” E484K, Q677H, F888L dan rangkaian “protein deletions” serupa yang dilihat dalam varian UK B.1.1.7, ” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya.

Katanya, mutasi “spike protein” E484K tersebut mendapat perhatian kerana ia dilaporkan dapat menghindari sistem imun mangsa yang dijangkita oleh virus Covid-19 dengan varian terbabit.

Beliau berkata, sejak pertama kali dikesan di United Kingdom dan Nigeria pada Disember 2020 lalu, sebayak 360 urutan varian tersebut dijumpai di GISAID dengan laporan tertinggi dari Denmark (n = 121) , diikuti oleh UK (n = 73) dan Nigeria (n = 56).

“Varian Nigeria juga boleh menyebabkan peningkatan dalam kebolehjangkitan serta kemungkinan penurunan tindak balas imun.

“Kementerian Kesihatan (KKM) melalui IMR dan CPRC Kebangsaan akan sentiasa memantau perkembangan mutasi Varian Nigeria B1.525 ini dan akan memaklumkan masyarakat umum dari semasa ke semasa,” katanya.

Dr Noor Hisham dalam pada itu, turut menasihati orang ramai untuk sentiasa  mengamal kebersihan diri walaupun program vaksinasi sedang dilaksanakan.

ini kerana sasaran untuk mewujudkan imuniti kelompak dalam kalangan masyarakat di negara ini masih belum tercapai. — DayakDaily