Oleh Kadir Edison
PUTRAJAYA, 6 Okt: Sistem kesihatan di negara ini sudah lebih bersedia pada ketika ini untuk menangani gelombang ketiga penularan wabak Covid-19 di dalam komuniti berbanding sebelumnya.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, petugas barisan hadapan khusus kakitangan Kementerian Kesihatan kini mempunyai pengalaman, tenaga kerja, pengetahuan mengenai tingkah laku virus tersebut serta peralatan dan kemudahan yang mencukupi bagi menghadapi gelombang jangkitan tersebut.
“Saya diberitahu oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham (Abdullah) bahawa kita mempunyai ‘ventilator’, PPE, peralatan dan ubat-ubatan yang mencukupi dan jumlah katil di hospital-hospital yang dikhususkan untuk merawat pesakit Covid-19 juga mencukupi dengan kapasiti penggunaan pada masa ini sekitar 29 peratus,” katanya.
Namun begitu, jelas beliau, usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan perlu dilakukan sebaiknya dengan sentiasa berada di kediaman masing-masing terutamanya bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (PKPB).
Kerajaan dalam pada itu, kata Muhyiddin. tidak mempunyai perancangan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara atau ‘total lockdown’.
Langkah tersebut jika dilaksanakan semula boleh membawa kesan besar yang dikhuatiri akan meruntuhkan sistem sosial dan ekonomi negara.
Sebaliknya kerajaan hanya akan melaksanakan PKPB di kawasan-kawasan yang dikenal pasti mempunyai jumlah kes positif Covid-19 yang tinggi
“Dengan ini, aktiviti ekonomi dan sosial di kawasan-kawasan lain yang tidak terjejas boleh diteruskan dengan amalan SOP yang ketat dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas.
“Saya percaya kesiapsiagaan sistem kesihatan kita akan membolehkan kita menangani penularan Covid-19 tanpa perlu kita menutup sektor-sektor ekonomi yang pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.
Tambah beliau, pemulihan sektor ekonomi negara pada ketika ini berjalan dengan lancar dan sebarang keputusan yang diambil kerajaan perlu mengambil kira kepentingan 15 juta rakyat yang keluar bekerja.
Ia bagi menjamin kelangsungan hidup setiap rakyat dan kestabilan ekonomi negara.
Sementara itu, kata Muhyiddin, kerajaan ketika ini mengambil keputusan untuk menutup sekolah-sekolah yang berada di zon merah jangkitan Covid-19 melibatkan kawasan Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tawau, Lahad Datu, Kunak Dan Semporna di Sabah.
“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa memantau keadaan kes Covid-19 di sekolah di seluruh negara dan jika ada sebarang kes Covid-19 melibatkan warga sekolah, KPM akan akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menanganinya,” katanya.
Ujar beliau, Kementerian Kesihatan akan memaklumkan kepada KPM langkah-langkah yang perlu diambil bagi menjamin kesihatan dan keselamatan murid, guru dan kakitangan sekolah sekiranya terdapat sekolah yang berada dalam situasi berkenaan. — DayakDaily