Malaysia laksana misi bawa pulang rakyat Malaysia dari India

Covid-19 file pic

KUALA LUMPUR, 7 Mei: Kerajaan akan melaksanakan misi repatriasi khusus bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di wilayah utara dan barat India tatkala negara itu terus mencatatkan rekod baharu dalam angka kes baharu Covid-19.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kesemua rakyat Malaysia terbabit termasuk pertugas (Home Base Staff) daripada pelbagai agensi serta  tanggungan mereka akan di terbangkan pulang ke negara ini menggunakan pesawat sewaan khas dari Malaysia.

Katanya, keputusan berkanaan  dibuat secara bersama melibatkan pelbagai agensi selain mengambil kira maklumat hasil pemerhatian dan analisa yang dibuat oleh pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia di India.

“Rakyat Malaysia yang dibawa pulang menerusi misi ini diwajibkan menjalani ujian Covid-19 sebelum berlepas dan sebaik tiba. Selain itu, mereka juga wajib menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya menerusi kenyataan yang di muat naik di laman Facebook beliau.

Beliau berkata, rakyat Malaysia yang berada di kedua wilayah barat dan utara India yang berhasrat menyertai misi repatriasi ini, dinasihatkan mendaftar selewat-lewatnya hari ini, (7 Mei) jam 5 petang waktu India.

Katanya, pendaftaran bagi menyertai misi tersebut boleh dilakukan di Konsulat Jeneral Malayisa di Mumbai atau di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Dehli.

“Saya selalu tekankan, rakyat kita di luar negara tetap rakyat Malaysia dan dalam apa jua keadaan, keselamatan mereka sentiasa menjadi keutamaan. Sama-sama kita doakan semoga misi ini dipermudahkan,” katanya.

India mencatatkan rekod baharu dunia pada Khamis selepas mencatatkan peningkatan tertinggi bilangan kes dalam sehari, iaitu lebih 412,000 dalam tempoh 24 jam.

Kementerian Kesihatan India melaporkan 412,262 kes baharu, membawa jumlah jangkitan melebihi 21 juta bersama rekod kematian baharu sebanyak 3,980 danjumlah kematian di negara itu kini mencapai 230,168 kes. — DayakDaily