Malaysia kekalkan penarafan kredit

Gambar menunjukkan pencapaian kutipan cukai langsung bagi tahun 2018 di negara ini yang disiarkan KKM di laman Facebooknya.
Advertisement

KUCHING, Jan 24: Kementerian Kewangan Malaysia (KKM) mengumumkan tiga agensi penarafan kredit antarabangsa terbesar dunia iaitu Moody’s, Fitch Ratings dan S&P Global Ratings telah mengekalkan penarafan kredit A3 atau A- bagi Malaysia.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kenyataan medianya disiarkan laman Facebook KKM semalam berkata Moody’s pada 7 Disember 2018 memutuskan untuk mengekalkan kredit kerajaan Malaysia pada taraf A3.

Ini berdasarkan kepada pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, pasaran modal tempatan yang mendalam serta rangka kerja institusi yang menyakinkan.

Advertisement

“Agensi tersebut juga menekankan bahawa kemungkinan penarafan kredit Malaysia berubah dalam masa terdekat adalah rendah dan ini akan menyakinkan pelabur dan komuniti perniagaan terhadap ekonomi negara,” katanya.

Lim berkata Fitch Ratings pula telah mengekalkan penarafan kredit Malaysia pada A- dengan prospek stabil.

“Fitch menjangkakan yang kadar hutang akan menurun dalam masa beberapa tahun akan datang jika KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) secara amnya berkembang pada 4.9 peratus pada tahun 2019 dan 5 peratus pada tahun 2020,” katanya.

Pada masa sama S&P Global Ratings juga telah mengekalkan penarafan kredit Malaysia pada A- dan melaporkan bahawa komitmen kerajaan terhadap konsolidasi fiskal boleh dipercayai manakala tekanan kewangan seperti pembayaran rebat GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) akan beransur pulih pada selepas 2019.

“Agensi-agensi penarafan sebelum ini telah menyatakan kebimbangan tentang asas pendapatan yang berkurangan selepas GST dimansuhkan dan digantikan dengan SST,” katanya.

Lim berkata perkara ini dapat diatasi dan kesan usaha-usaha yang diambil melalui pengutipan cukai langsung pada tahun 2018 yang memberangsangkan dan telah meningkat RM13.7 bilion atau 11.1 peratus tahun ke tahun kepada paras tertinggi RM137 bilion setahun. ā€” DayakDaily

Advertisement