Bomba lakukan ops khas bawa turun pendaki kejang otot

Pasukan bomba bersama mangsa yang selamat tiba di kaki gunung.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 23: Pasukan bomba dan penyelamat telah melakukan khidmat khas untuk membawa turun dua pendaki gunung yang kejang otot di Gunung Santubong di sini hari ini.

Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.27 petang.

Katanya, sejurus itu sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati dua lelaki itu tiada mengalami sebarang kecederaan, namun mengalami kejang otot kaki.


“Pasukan penyelamat kemudian memberi air yang bercampur dengan garam supaya otot mangsa kembali pulih,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, mangsa seterusnya dipapah dan berjalan beriringan dengan pasukan penyelamat sehingga ke kaki gunung.

“Operasi ditamatkan pada pukul 7.22 malam,” katanya lagi. — DayakDaily