Majlis penyerahan zakat perniagaan oleh SEDC Sarawak

Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain (kiri) semasa majlis penyerahan zakat perniagaan yang diadakan dalam talian melalui aplikasi Zoom pada 4 Mei lalu.

KUCHING, 5 Mei: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC Sarawak) telah menunaikan bayaran zakat perniagaan berjumlah RM2.3 juta bagi tahun 2020 kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) di majlis penyerahaan yang diadakan secara dalam talian pada 4 Mei lalu.

Majlis penyerahan ini yang diadakan melalui aplikasi Zoom di sebuah hotel telah disempurnakan oleh pengerusi SEDC Sarawak Datuk Amar Abdul Aziz Husain manakala TBS telah diwakili oleh pengurus besar Datu Abang Mohd Shibli Abg Mohd Nailie.

Menurut Abdul Aziz, majlis penyerahan terpaksa diadakan dalam talian bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa namun ianya tidak menjadi penghalang untuk SEDC Sarawak menunaikan tanggungjawap korporatnya.

Menurut beliau dalam satu kenyataan media, jumlah zakat perniagaan bagi tahun lalu adalah lebih dari sebelum ini kerana peningkatan dalam pendapatan perniagaan dan juga pembayaran dividen yang diterima daripada pelaburan strategik yang telah dilaksanakan.

“Syukur alhamdullilah jumlah keseluruhan pendapatan perniagaan kami pada tahun 2020 telah menunjukkan peningkatan terutama daripada penerimaan pembayaran dividen yang begitu memberangsangkan,” kata Abdul Aziz sambil memanjat syukur atas pencapaian SEDC yang memberangsangkan pada tahun 2020 walaupun dunia perniagaan telah berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19.

Beliau berkata SEDC Sarawak juga tidak terlepas daripada impak Covid-19 yang menjejaskan perniagaan terutama dalam sektor pelancongan dan hospitaliti akibat penurunan drastik jumlah pengunjung dari luar Sarawak.

Keadaan ini yang turut menyumbang kepada merundungnya jumlah pelanggan dan penjualan jatuh teruk sejak pandemik Covid-19 melanda sejak Januari tahun lalu.

Sementara itu, Abang Shibli merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada SEDC Sarawak yang tetap menunaikan pembayaran zakat perniagaan walaupun berdepan pelbagai cabaran akibat keadaan semasa.

Namun, bulan Ramadan ini adalah masa terbaik bagi semua pihak untuk melipatgandakan ibadah selain mengambil kesempatan pada bulan ini untuk berbuat kebaikan dengan berkongsi rezeki dengan golongan masyaraat yang memerlukan sebagai tanda mensyukuri nikmat yang diberikan oleh Allah SWT.

Turut hadir dimajlis penyerahan ini ialah pengurus besar SEDC Sarawak Abdul Hadi Abdul Kadir bersama timbalan pengurus besar Rakayah Hamdan dan ahli ahli lembaga iaitu Datu Laura Lee dan Dr Muhammad Abdullah Zaidel merangkap Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Sarawak (EPU). — DayakDaily