Majlis Kraf Sarawak harus ada kuasa keluarkan ‘trademark’ dan ‘IP rights’

Dayang Noorazah Awang Sohor

KUCHING, 16 Mei: Majlis Kraf Sarawak harus ada kuasa mengeluarkan ‘trademark’ dan ‘IP rights’ untuk hasil kraftangan yang berkualiti, kata Adun Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor.

Menurut beliau, kuasa tersebut penting supaya produk kraft tersebut terjaga dan terjamin.

“Kerana kita pun tahu, aktiviti meniru hasil pembuatan sangat berleluasa dengan menawarkan harga yang lebih rendah daripada pasaran.


“Namun kepada pecinta kraftangan mutu, kualiti dan keunikan kraftangan menjadi simbolik kemegahan negara.

“Oleh itu hak setiap kraftangan Sarawak harus dijaga supaya masa depan Kraftangan Sarawak terjamin,” katanya di perbahasan menyokong usul mewujudkan Majlis Kraf Sarawak di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Tambah Dayang Noorazah, pengeluaran lesen kraftangan kepada pengeluar dan pengusaha produk Kraftangan patut diketengahkan.

Katanya, ia adalah supaya hasil produk dapat diselia dari masa ke semasa dan dalam masa yang sama membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan.

Adun Asajaya merangkap Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah hari ini membawa usul untuk merealisasikan Majlis Kraf Sarawak di Persidangan DUN.

Ia sebagai sebagai satu entiti yang akan menjadi pihak berkuasa di Sarawak bagi pengawalan dan pembangunan kraf. — DayakDaily