Mahu untung cepat, jurujual edar dadah diberkas polis

Kelihatan dadah yang dirampas.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Okt 31: Niat jahat seorang lelaki yang ingin mengaut keuntungan segera dengan disyaki terlibat dalam aktiviti mengedar dadah akhirnya memakan dirinya apabila dia diberkas di sebuah rumah di Jalan Lapangan Terbang di sini semalam.

Suspek berusia 29 tahun itu diberkas pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak pada pukul 11.30 pagi.


Ketua JSJN Sarawak, SUPT Sahar Abd Latif berkata, suspek yang juga merupakan seorang jurujual ditangkap hasil maklumat awam dan risikan polis yang telah dilakukan sebelum itu.

Jelas beliau, pemeriksaan yang dilakukan di rumah suspek telah menjumpai 12 paket campuran serbuk jus buah-buahan dan serbuk ekstasi seberat 303.64gram.

“Nilai rampasan dadah berkenaan dianggarkan sebanyak RM5,400. Polis juga menyita sebuah kereta Perodua Kelisa yang dipercayai digunakan suspek menjalankan jenayah berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Sahar menambah, siasatan lanjut mendapati suspek mula aktif terlibat dalam aktiviti mengedar dadah di pusat-pusat hiburan di bandar raya ini sejak Ogos lepas.

Ujarnya, hasil ujian air kencing yang dilakukan juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek kini ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” jelasnya lagi. — DayakDaily