MARUDI, April 12: Seorang lelaki dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas dia terjatuh ke dalam Sungai Lubok Nibong di sini hari ini.
Sebelum kejadian itu, mangsa, Jamin Seligi, 51, dikatakan sedang dalam perjalanan ke Pasar Marudi untuk menjual hasil tangkapan ikan dan udang yang diperolehnya.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya hanya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada pihak polis pada pukul 9.16 pagi.
Katanya, sejurus menerima maklumat insiden berkenaan, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Marudi kemudian ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa.
“Jarak lokasi insiden itu ialah kira-kira 30 kilometer dari jeti Marudi dan pasukan bomba telah menggunakan bot penyelamat untuk ke lokasi kejadian.
“Unit skuba dari pasukan penyelamat dalam air (PPDA) Zon Miri juga dikerahkan ke tempat kejadian bagi membantu operasi mencari dan menyelamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tiong menambah, selain bomba, pasukan polis dan penduduk setempat juga membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Namun ujarnya, maklumat awal perahu mangsa serta peralatan menangkap ikan telah dijumpai di tebing sungai Lubok Nibong di situ.
“Bagaimanapun, setakat pukul 6 petang ini mangsa masih gagal ditemui,” ujarnya lagi. — DayakDaily