Mahathir sudah jangka PH kalah di Tanjung Piai

Tun Dr Mahathir Mohamad

KUCHING, Nov 18: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengakui bahawa sudah menjangkakan kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai Sabtu lepas.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjangkakan bahawa majoriti akan beralih ke arah ke pihak lawan.

“Saya terima keputusan yang dibuat rakyat di Tanjung Piai. Jangkaan saya majoriti kekalahan ini tidak lebih dari 2,000 undi.


“Namun keputusan rasmi majoriti kekalahan ialah sebanyak 15,086 undi,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar hari ini.

Menurut Mahathir lagi, satu bedah siasat terperinci, serius dan jujur di semua peringkat parti akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kekalahan PRK tersebut.

Pada PRK itu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi.

Beliau memperoleh 25,466 undi untuk mengatasi lima pencabarnya.

Pesaing terdekatnya yang juga calon PH, Karmaine Sardini, memperoleh 10,380 undi, manakala calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia , Wendy Subramaniam, mendapat 1,707 undi.

Tiga lagi calon, iaitu Presiden Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa), Dr Badhrulhisham Abdul Aziz meraih 850 undi, sementara calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock (380 undi) serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar (32 undi). — DayakDaily