Mahathir: PH harus bersatu untuk tumbangkan Kerajaan Negeri Sarawak

Dr Mahathir berucap di Majlis Berambeh Bersatu Sarawak 2019 di Kuching.

Chris Bishop

KUCHING, Sept 16: Parti-parti gabungan Pakatan Harapan (PH) harus bersatu jika ingin menumbangkan Kerajaan Negeri Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi PH merangkap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kemungkinan untuk mencapai matlamat tersebut besar jika perpaduan diutamakan.


“Sebab itu saya minta supaya waktu ini bukan masanya untuk kita berpecah, berebut-rebut itu dan ini.

“Pada masa ini yang diutamakan adalah untuk kita bersatu kerana dari perpaduan inilah dapat kita menjayakan usaha untuk menukar Kerajaan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Berambeh Bersatu Sarawak 2019 yang diadakan di sebuah hotel disini, hari ini.

Dr Mahathir selaku Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menambah, Sarawak adalah negeri yang berbeza kerana masih dikuasai kerajaan yang lama manakala di peringkat pusat sudah dikuasai kerajaan baharu PH.

Katanya, kerajaan lama pimpinan Gabungan Parti Sarawak(GPS) sudah tentu akan berhempas pulas untuk mempertahankan kedudukan.

“Kini disebabkan peralihan pemerintahan di peringkat pusat, ada sesuatu yang luar biasa bagi Sarawak iaitu kerajaan negeri tidak lagi dari parti yang sama dengan kerajaan pusat.

“Sudah tentu kerjasama diantara kedua-dua pihak berlainan dan tidak sekuat yang diharapkan rakyat.

“Kalau kita mahukan ikatan antara kerajaan negeri dan pusat kuat, maka amat penting pada pilihan raya akan datang kita tukar Kerajaan Negeri Sarawak,”ujar Mahathir.

Dr Mahathir (lima dari kiri) menyempurnakan majlis penyerahkan replika cek.

Disamping itu, Dr Mahathir gembira kerana rakyat Sarawak ingin sertai Bersatu dan parti itu akan memainkan peranan penting dalam PRN nanti.

Namun demikian tambah beliau, Bersatu mesti bergabung dengan parti-parti lain untuk membentuk satu parti besar yang mantap.

“Kadang-kadang kita harus bergabung dengan parti yang dahulunya kita tak sukai.

“Suka atau tidak, hanya dengan bergabung barulah kita dapat mencapai kemenangan dan menubuhkan kerajaan negeri yang baharu,”katanya.

Pada majlis tersebut, Dr Mahathir turut menyempurnakan Pelancaran ‘Big Bike’ Gerak Gempur Keahlian Bersatu Sarawak dan menyerahkan replika cek kepada Setiausaha Agong Bersatu. — DayakDaily