Jaziri dipilih Pengerusi Bersatu Sarawak

Mahathir(duduk tengah) pada sesi dialog sempena Majlis Berambeh Bersatu 2019 di Kuching.

Chris Bishop

KUCHING, Sept 16: Ketua Bahagian Santubong, Jaziri Alkaf Ahmad Suffian telah dipilih menjadi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak. 

Pengumuman itu dibuat oleh pemimpin Bersatu pada sesi dialog yang diadakan sempena Majlis Berambeh Bersatu 2019 di salah sebuah hotel di sini, hari ini.

Jaziri, 41, yang juga Setiausaha Interim Bersatu Sarawak merupakan seorang arkitek dan berasal dari Kampung Muhibbah, Kuching. 

Majlis dihadiri Pengerusi Bersatu merangkap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Muhamad.

Pada sesi dialog tersebut, Mahathir menjelaskan yang Bersatu terdahulu telah menghantar beberapa pemimpin dari majlis tertinggi parti datang ke Sarawak untuk meraih sokongan

“Ini telah kita lakukan dan kita tubuhkan bahagian dan cawangan tetapi belum disahkan lagi kerana kita dapati banyak maklumat yang diterima bercanggah.

“Pada masa itu kita belum tentukan siapa yang akan menjadi ketua bahagian dan sebagainya walaupun ada cadangan.

“Kita akan kekalkan, itupun secara lantikan dan kemudian kita akan adakan pemilihan,’katanya menjawab soalan ahli Bersatu Sarawak.

Pada masa ini Bersatu memiliki 50,000 ahli di seluruh Sarawak dan mensasar meningkatkan jumlah sehingga 150,000 ahli di penghujung tahun ini.

Sehingga kini Pejabat Pendaftar Persatuan(ROS) telah meluluskan enam bahagian Bersatu di Sarawak.

Ia termasuk bahagian Santubong, Stampin, Sri Aman, Saratok, Kota Semarahan, dan Bintulu. — DayakDaily