MAFS fokus kepada usaha pemodenan sektor agromakanan

Chan (lima kanan) menyampaikan cenderamata kepada Dr Rundi pada pertemuan di Kuching.

KUCHING, 21 Feb: Usaha pemodenan sektor agromakanan adalah pemangkin bagi menarik minat bakat muda menceburi bidang tersebut.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) Chan Foong Hin berkata, ini seterusnya mengalakkan penjanaan peluang pekerjaan di Sarawak.

Beliau berkata demikian ketika kunjungan hormat ke atas Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom di Kuching hari ini.

“Pertemuan ini penting bagi membincangkan kerjasama dua hala dalam mengeratkan kerjasama strategik Kementerian di peringkat Persekutuan dan Kerajaan Wilayah Sarawak dalam memastikan keterjaminan makanan negara,” katanya.

Tambah Chan, penekanan juga diberikan kepada pembangunan industri asas tani yang bakal menambah nilai eksport.

Memahami pentingnya mengangkat autonomi Sarawak, MAFS katanya berharap kerjasama lebih erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak di setiap peringkat dalam membangunkan sektor pertanian.

“Kedua-dua pihak bersedia untuk memberikan komitmen bagi memperkukuhkan bekerjasama dalam pelbagai bidang.

“Ini terutamanya perkongsian data dan maklumat pertanian, pemasaran produk tempatan ke pasaran antarabangsa dan pemantapan program latihan pertanian dan program Agropreneur Muda,” ujar Chan. — DayakDaily