KUCHING, 21 Jan: Sebelas langkah dalam Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 5.0 dilihat tidak mempunyai pendekatan baharu sebaliknya ia merupakan lanjutan daripada BKSS 4.0 kata Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr. Madeline Berma.
Katanya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika mengumumkan bantuan tersebut tidak memeperincikan pendekatan baharu untuk melandaikan lekuk penularan Covid-19 dan kemunculan ekonomi.
“Saya mengharapkan Kerajaan Negeri mengumumkan langkah inovatif untuk mengesan (tracing) dan memutus penularan Covid-19 dalam masa yang pantas seperti membina pusat Ujian pandu lalu yang bersifat pusat sehenti yang mana ujian, pengesanan dan pengumpulan sampel dilakukan dalam masa cepat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pendekatan dalam BKSS 5.0 yang diumumkan hari ini masih dilihat memfokuskan kepada usaha untuk melindungi kepentingan dan kesejahteraan rakyat di negeri itu.
Katanya, sudah tiba masanya untuk Sarawak memperkenal satu strategi bagi mengekal ketahanan dengan mempertingkatkan kelangsungan dan kemampanan ekonomi isi rumah dan nilai eksport negeri itu.
“Dalam BKSS5.0 saya mengharap Kerajaan melaksanakan strategi untuk menyiapkan negeri dan rakyat Sarawak menghadapi ekonomi pasca-Covid, melalui pemerkasaan penduduk, penstrukturan ekonomi dengan memanfaatkan ekonomi digital untuk mengesan, melapor, melindungi dan merawat Covid-19.
“Pada masa yang sama dapat menambah baik dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial melibatkan pekerja dalam sektor informal dan ekonomi menerusi pelaburan dalam sumber manusia dengan menyediakan bantuan kewangan untuk membangun bakat dan pekerjaan jenis baharu dan mengurang lompang digital di kalangan penduduk bandar, luar bandar dan pendalaman Sarawak,” katanya.
Madeline dalam pada itu berpendapat BKKS 5.0 bertindak sebagai pengenap kepada bantuan sebelumnya (BKSS 1.0 –BKSS 4.0) serta lima pakej rangsangan fiskal atau ekonomi yang dilancarkan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Bantuan Prihatin Nasional.
Katanya BKSS 5.0 dilancarkan pada masa yang tepat dan cepat untuk memastikan mereka yang memerlukan mendapat bantuan pada ketika keadaan mereka memerlukan.
“BKSS adalah pelbagai, yang melibat bantuan tunai secara terus, pinjaman mudah tanpa faedah, diskaun utiliti air, elektrik untuk isi rumah, Industri dan komersil.
“Usaha yang dilakukan ini bagi meningkatkan kuasa beli isi rumah dan menambahkan penggunaan melalui pemotongan atau pengecualian cukai tertentu,” katanya.
Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu Sarawak telah memperuntukkan lebih RM3 bilion bagi melaksanakan pelbagai bantuan dan inisiatif untuk pengguna domestik, Industri dan komersil menerusi BKSS1.0 hingga BKSS 5.0
Bantuan ini telah memberi manfaat kepada kumpulan yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19 seperti golongan rentan, Kumpulan B40, petugas barisan hadapan, usahawan kecil dan sederhana serta mereka yang terlibat dalam sektor pelancongan dan pengangkutan. — DayakDaily