‘Mac atau April tempoh paling mungkin untuk PRU14’

Datuk Peter Minos

KUCHING, Feb 19: Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) diramalkan akan diadakan samada Mac atau April depan kerana tempoh terbabit paling sesuai bagi mengadakan pilihanraya umum.

Penganalisa politik, Datuk Peter Minos membuat ramalan tersebut kerana pada Mei 15 depan sudah bermulanya bulan puasa di negara ini sehingga Jun 15 dan bukan tempoh sesuai bagi mengadakan pilihanraya umum.

“Jadi PRU14 paling sesuai diadakan samada Mac atau April depan, bila tarikhnya sebenarnya masih menjadi teka teki. Tetapi berdasarkan pertunjuk diberikan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kelihatannya Mac depan mungkin dipilih bagi mengadakan pilihanraya terbabit,” katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Peter berkata Parlimen sedia ada akan tamat tempohnya pada Jun 24 depan tetapi tempoh terbabit boleh dilanjutkan selama 60 hari berdasarkan undang-undang sehingga Ogos 24 depan.

“Tetapi hanya kerajaan yang tidak waras sahaja akan mengadakan pilihanraya pada bulan terakhir, kerana amat berisiko,” katanya.

Ini terutamanya risiko yang tidak diduga seperti berlakunya masalah kejatuhan ekonomi secara tiba-tiba atau berlaku kematian membabitkan pemimpin penting dalam negara.

Menurutnya, sebaik sahaja Parlimen dibubarkan, PRU14 boleh diadakan dalam tempoh 16 hari selepas itu. — DayakDaily