Lucy Lingam penghulu wanita kaum India pertama di Sarawak

Sih (empat dari kiri) menyampaikan sejambak bunga kepada Lucy (empat dari kanan) sebagai meraikan perlantikannya sebagai penghulu sambil disaksikan Fatimah (lima dari kanan).

KUCHING, Jun 17: Persatuan Wanita India Sarawak (SIWA) telah meraikan perlantikan presidennya, Paliani Samba Bilaidom@Lucy Lingam, 67, sebagai penghulu wanita kaum India pertama di Sarawak, di sini, semalam.

Majlis meraikan perlantikannya juga dihadiri Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Sri Fatimah Abdullah yang kemudian turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada SIWA.

“Saya sebelum ini gembira apabila beliau dilantik sebagai kapitan oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan saya sekali lagi gembira sekarang kerana beliau dinaikkan pangkat sebagai penghulu kaum India Kuching,” menurut Fatimah yang juga penaung SIWA.

Beliau berkata ini menjadikan Lucy Lingam yang dikenalinya sejak 2001 sebagai penghulu wanita kaum India yang pertama bagi Sarawak dan mungkin juga pertama di Malaysia.

“Beliau (Lucy) dilantik sebagai kapitan pada 2007 dan memegang pelbagai jawatan sehingga penghujung 2018. Pada 1 Januari 2019, beliau telah disahkan sebagai penghulu India Kuching selaku penghulu kawasan Batu Lintang,” katanya.

Fatimah berkata Lucy ketika ini juga ahli Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (MWKS) dan tiga minggu lepas dilantik sebagai Ahli Exco dan Ketua Hal Ehwal Kaum India dalam Persatuan Ketua Kaum Cina bahagian Kuching.

Disamping itu, Lucy masih memimpin SIWA dan Persatuan Silambam Sarawak yang diasaskannya serta ialah ahli pengasas kepada Persatuan Kabbadi Sarawak.

“Dalam politik, beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Biro Hal Ehwal kaum India pada 1999 dan telah memimpin biro terbabit sampai sekarang,” katanya.

Sementara itu, Lucy di majlis itu berterima kasih kepada SUPP termasuk Pengerusi SUPP Batu Lintang, Sih Hua Tong kerana membolehkannya mendapatkan jawatan penghulu tersebut. ā€” DayakDaily