KUCHING, 7 Sept: Lembaga Sungai Sungai Sarawak (LSSS) hari ini mengingatkan semua pengguna sungai, juragan, agen, operator bot dan kapal serta masyarakat perkapalan secara keseluruhannya agar memandu bot masing-masing dengan lebih berhati-hati dan memperlahankan kelajuan khususnya semasa melalui kawasan perkampungan dan kawasan kediaman.
Pengerusinya Murni Suhaili berkata, ini disebabkan hujan turun dengan lebat dan tidak berhenti-henti di kawasan hulu Batang Rajang.
Akibat pertembungan air pasang dari laut katanya, paras air di beberapa kawasan rendah di sekitar Sibu, Kanowit, Song dan Kapit telah naik dan melimpahi tebing.
“Keadaan air yang melimpahi tebing sungai juga telah menyebabkan sebahagian laman rumah kampung, rumah kedai dan rumah panjang yang didirikan di tebing sungai turut ditenggelami air khususnya di sekitar bandar Kapit, Kanowit dan Sibu,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tambah beliau, kesukaran lain dijangka akan ditempuhi oleh pengguna sungai ialah keadaan cuaca berkabus, serpihan-serpihan kayu hanyut, air laju luar jangkaan dan jarak penglihatan yang terhad.
Jika terpaksa berlayar dalam keadaan hujan katanya, semua juragan dinasihatkan untuk memasang lampu pelayaran.
Jelas Murni, pemilik-pemilik kolam balak dan kilang papan yang beroperasi di tebingan sungai juga dinasihatkan agar mengawasi kayu balak dan sisa-sisa buangan industri dari kilang masing-masing daripada hanyut dibawa arus deras yang boleh membahayakan pelayaran dan kawasan kediaman.
“Bot-bot penumpang sekali lagi diingatkan supaya dilengkapi peralatan keselamatan yang mencukupi sepanjang masa untuk kegunaan segera jika berlaku kecemasan.
“Pegawai-pegawai penguatkuasa Lembaga Sungai-Sungai Sarawak akan melakukan pemeriksaan ke atas peralatan keselamatan dalam bot penumpang dari semasa ke semasa dan kita memohon kerjasama daripada semua pihak berhubung perkara ini,”ujar beliau.
Manakala bagi bot-bot yang bertambat di waf, terminal atau jeti, Murni menasihati mereka agar mengawasinya sepanjang masa dan seboleh-bolehnya ditambah tali ikatannya untuk memastikan ianya tidak putus akibat arus yang dijangka lebih deras dari keadaan biasa.
Katanya lagi, penduduk yang tinggal di sepanjang sungai juga diingatkan agar sentiasa berwaspada khususnya tidak membiarkan anak-anak bermain di luar rumah tanpa pengawasan.
“Mereka juga perlu sentiasa memantau perubahan kepada struktur tebing sungai dan berpindah ke kawasan yang lebih selamat jika keadaan tebing sungai hendak runtuh dan boleh membahayakan rumah kediaman masing-masing atau menerima arahan untuk berbuat demikian daripada pihak yang bertanggungjawab,”ujar Murni.
Dalam pada itu, beliau berkata pihak LSSS akan menghebahkan melalui media cetak atau elektronik serta mengeluarkan notis atau arahan kepada semua pengguna sungai sekiranya keadaan menjadi lebih teruk.-DayakDaily