Lori terbalik selepas jambatan yang dilalui runtuh

Kelihatan sebuah lori yang terbalik selepas jambatan yang dilalui runtuh.

Oleh Dean Adam

SIMUNJAN, Feb 18: Seorang pemandu lori nyaris maut apabila kenderaan yang dipandu terjatuh dan terbalik di sebuah jambatan yang runtuh di Kampung Segar di sini hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, pemandu lori berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan.


Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, sebelum itu mereka menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian terbabit.

Katanya, orang awam tersebut memaklumkan bahawa kes lori terjatuh dan terbalik selepas melalui jambatan di kampung berkenaan.

“Jambatan itu runtuh dipercayai akibat tidak dapat menampung bebanan lori yang lalu di atasnya,” katanya di sini hari ini.

Kelihatan sebuah jambatan yang runtuh.

Jurucakap sama menambah, APM Asajaya telah memaklumkan pihak Pejabat Daerah Simunjan untuk melaporkan kes tanah runtuh tersebut kepada pihak polis bagi pemantauan keselamatan pengguna jalan raya di kawasan tersebut.

Katanya, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) juga telah dimaklumkan tentang kejadian di lokasi tersebut untuk tindakan lanjut.

“Pemantauan susulan akan dilakukan untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk kampung di sekitar kawasan kejadian,” katanya. — DayakDaily