Lori langgar ambulans di Kota Samarahan

Ambulan tersebut remuk di bahagian belakang akibat dirempuh lori.

KOTA SAMARAHAN, 8 Mac: Hari ini tular di media sosial video sebuah ambulans dilanggar lori di Kilometer 14 Jalan Kota Samarahan-Sadong Jaya.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Supt Alexson Naga Chabu mengesahkan kejadian tersebut berlaku sekitar jam 10.40 pagi.

Katanya, ambulans tersebut semasa kejadian ada membunyikan siren kecemasan dan turut menyalakan lampu kecemasan.


“Apabila sampai di selekoh di KM14 Jalan Kota Samarahan-Sadong Jaya, pemandu ambulans memandu perlahan sebab ada kenderaan bergerak perlahan di hadapan dan tiba-tiba dilanggar dari belakang oleh sebuah lori.

“Akibat kemalangan tersebut, pemandu bersama penumpang ambulan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya juga, semasa kejadian ambulans tersebut dalam perjalanan menghantar pesakit dari Hospital Sarikei ke Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching.

Jelasnya, ambulans tersebut semasa kejadian membawa seorang pesakit bersama dua penumpang iaitu ahli keluarga pesakit dan jururawat.

“Pesakit bersama dua lagi penumpang telah diserahkan kepada ambulans Klinik Semera Asajaya di lokasi kemalangan untuk dibawa ke HUS,” katanya.

Polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily