Oleh Dean Adam
SARATOK, Okt 24: Seorang pemandu dan kelindan berdepan detik mencemaskan selepas lori yang dinaiki mereka terbabas lalu terhumban masuk ke dalam parit besar di jalan berhampiran Jambatan Batu 4 di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 pagi itu, difahamkan hanya pemandu lori tersebut tersepit di bahagian kaki, manakala kelindan pula mengalami kecederaan di mukanya.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yusuf Tamin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.22 pagi.
Jelasnya, sepasukan 10 anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.
“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati sebuah lori yang membawa muatan barangan dalam keadaan di atas ‘culvert’ yang dalam proses pembaikan.
“Pasukan bomba kemudian bertindak membantu kelindan keluar sebelum mengeluarkan pemandu yang tersepit,” katanya di sini hari.
Yusuf menambah, pasukan bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada kedua-dua mangsa.
Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Saratok untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 6.24 pagi,” ujarnya. — DayakDaily