Lori gagal potong kenderaan lain, lelaki maut dirempuh

Keadaan di tempat kejadian kemalangan yang melibatkan sebuah motosikal dan lori di Jalan Batu Gong, Siburan hari ini.

SIBURAN, Feb 22: Malang menimpa seorang lelaki warga emas apabila dia maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah lori di Jalan Batu Gong, Siburan di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi itu mengakibatkan mangsa, Chong Kong Chiong, 63, meninggal dunia di tempat kemalangan selepas mengalami kecederaan parah.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 difahamkan sedang dalam perjalanan menuju ke arah Kuching dari arah Jalan Batu Gong di sini.


Namun katanya, sejurus tiba di lokasi kejadian, sebuah lori tanpa muatan telah melanggar motosikal yang ditunggang mangsa.

“Siasatan awal mendapati, lori yang dipandu lelaki berusia 61 tahun cuba memotong kenderaan lain di laluan bertentangan, namun gagal lalu melanggar motosikal mangsa.

“Impak perlanggaran kuat itu menyebabkan mangsa tercampak dari motosikalnya ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah pada kepala dan badannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, pemandu lori tersebut pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, pemandu kenderaan berat berkenaan telah ditahan untuk tindakan selanjutnya.

“Mangsa sudah dibawa ke Hospital Umum Sarawak di sini untuk dibedah siasat esok.

“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily