Lori dan Ford Ranger bertembung, enam orang cemas

Keadaan Ford Ranger yang remuk selepas terlibat dalam kemalangan.
Advertisement

MUKAH, April 14: Malang tidak berbau. Itulah yang berlaku kepada enam individu selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Simpang Kerbai di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 10.15 pagi itu melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dan sebuah lori membawa muatan tanah.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah, Azman Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada pukul 10.19 pagi.

Advertisement

Jelasnya, lima anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi insiden untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Semasa tiba di tempat kemalangan, anggota bomba mendapati lima mangsa dalam Ford Ranger sudah dikeluarkan oleh orang awam. Pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bahagian depan Ford Ranger itu remuk teruk, namun kesemua penumpang dan pemandu hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Azman memberitahu, semua mangsa yang cedera telah dibawa ke Klinik Selangau untuk rawatan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya selepas pasukan bomba memastikan keadaan di kawasan kemalangan terkawal,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement