MARUDI, 11 Okt: Keadaan air banjir di Kampung Long Panai, Sungai Tuto, Baram masih dalam trend menaik.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya telah menjalankan pemantauan di lokasi tersebut.
“Didapati paras air Sungai Tutoh masih dalam trend menaik, bacaan air di Long Panai adalah 2.5 kaki.
“Penduduk kampung yang terjejas telah diarahkan berpindah ke tingkat atas rumah kediaman masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, belum ada perpindahan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dilakukan.
“Semua penduduk juga dinasihatkan untuk terus dalam langkah berjaga-jaga,” katanya.
Turut sama melakukan pemantauan ialah kakitangan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan penduduk kampung.
Sementara itu, pemantauan di Long Bemang juga mendapati air banjir mula menaik semula di semua kawasan.
“Air sungai di kawasan Apoh naik mendadak akibat hujan lebat berterusan di kawasan hulu.
“Bagaimanapun tiada perpindahan ke PPS di lakukan dan penduduk yang terjejas diarahkan berpindah ke tingkat atas rumah masing-masing,” katanya.
Pemantauan akan terus dijalankan dari masa ke semasa. — DayakDaily