Loji rawatan ditutup sementara, 6 bahagian alami gangguan bekalan air berjadual

Infografik menunjukkan jadual penutupan loji rawatan air Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) di enam bahagian di Sarawak.

KUCHING, 12 Mac: Penduduk di enam bahagian akan mengalami gangguan belakan air berjadual susulan penutupan sementara loji bekalan air di bahagian terbabit.

Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dalam satu kenyataan berkata, penutupan loji tersebut bagi memberikan laluan kepada kontraktor untuk memasang ‘electro-magnetic flowmeter’ untuk air mentah dan air terawat.

Katanya antara loji terlibat adalah loji Bayai di Sri Aman, loji Kaki Wong di Saratok, loji Kapit di Kapit, loji Jemoreng di Mukah, Loji Suai di Miri dan loji Trusan di Limbang.


Loji rawatan Bayai, Sri Aman akan di tutup pada 28 April, 1 dan 4 Mei depan dari jam 10.00 malam hingga  6.00 pagi, manakala loji rawatan Kaki Wong, Saratok akan di tutup pada hari ini (12 Mac) dan 15 Mac juga bermula dari jam 10.00 malam hingga 6.00 pagi.

“Loji rawatan Kapit pula akan ditutup pada 18 dan 21 Mac ini sementara loji rawatan Jemoreng, Mukah akan ditutup pada 25 dan 29 Mac dengan penutupan operasi kedua-dua loji ini bermula dari jam 8.00 malam hibgga 4.00 pagi,” katanya.

Katanya, dua lagi loji iaitu Loji rawatan Suai, Miri akan ditutup pada 13 April ini bermula jam 10.00 malam hingga jam 6.00 pagi manakala Loji Rawatan Trusan, Limbang pula akan ditutup pada 3 April dari jam 7.00 malam hingga 3.00 pagi.

Justeru, susulan notis penutupan tersebut, JBALB menasihatkan pengguna di kawasan telibat yang terjejas susulan penutupan loji-loji berkenaan untuk  membuat simpanan air yang mencukupi bagi kegunaan mereka.

Tambah kenyataan itu, perkembangan terkini kerja-kerja berkenaan akan dimaklumkan kepada orang ramai menerusi laman rasmi Facebook JBALB Sarawak. — DayakDaily