Dua lelaki ditangkap di Serian membawa senapang patah tanpa lesen

Senapang patah dan peluru hidup yang dirampas dalam operasi tersebut.

Oleh Juetila Ozzy

SERIAN, 12 Mac: Dua lelaki ditangkap kerana didapati memiliki selaras senapang patah beserta empat butir peluru hidup selepas diperiksa Pasukan Gerakan Am (PGA) di halaman sebuah premis berhampiran simpang tiga Kedup 2 Jalan Mentung-Sangai, semalam.

Komander PGA Briged Sarawak SAC Mancha Ata berkata, senjata api itu ditemui di dalam kenderaan dinaiki kedua-dua suspek ketika ditahan sekitar jam 10.28 malam.


Menurutnya, kedua-dua individu terbabit merupakan warga tempatan berusia 49 dan 55 tahun.

“Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen dan lesen membawa senjata yang sah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ekoran itu, kedua-dua suspek ditahan dan senjata api tersebut dirampas untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Senjatapi 1960 Seksyen 8(A) dan diserahkan kepada IPD Serian. -DayakDaily