Liwan sampaikan bantuan kepada mangsa ribut di Rumah Panjang Seking

Liwan menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa terjejas.

Oleh Dean Adam

KAPIT, Ogos 20: Insiden ribut yang mengakibatkan penduduk Rumah Panjang Seking di Nanga Merit dekat sini terjejas pada 17 Ogos lalu mendapat perhatian Menteri Muda Bekalan Air yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Datuk Liwan Lagang.

Liwan yang dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan telah melakukan lawatan ke rumah panjang berkenaan untuk bertemu dengan kira-kira 85 penghuni yang terjejas.


Liwan bertemu dengan mangsa-mangsa ribut di Rumah Panjang Seking.

Beliau kemudian mengumumkan sumbangan berjumlah RM60,000 bagi membeli dan menggantikan bahagian atap rumah semua mangsa yang terjejas.

Katanya, beliau juga menyumbang bantuan berupa makanan, beras, botol air minuman kepada mereka yang terjejas.

“Jadi, saya berharap bantuan yang disampaikan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa dan meneruskan rutian harian seperti biasa,” katanya semalam.

Sementara itu, semua penghuni rumah panjang yang terjejas merakamkan penghargaan kepada Liwan yang mengambil berat tentang kejadian malang yang ditimpa mereka. — DayakDaily