Litar pintas dipercayai punca kebakaran kilang kayu di Bintulu

Anggota bomba dan penyelamat giat memadamkan kebakaran yang memusnahkan 70 peratus struktur sebuah kilang kayu di jalan Kemena, Bintulu awal pagi tadi (12 Feb)

BINTULU, 12 Feb: Kejadian litar pintas dipercayai menjadi punca kebakaran di sebuah kilang pemprosesan kayu di Jalan Kemena, di sini.

Jurucakap Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata,  pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian terbabit sekitar jam 5.12 pagi tadi.

“Pelapor memaklumkan kebakaran sedang marak dan telah memusnahkan separuh dari bumbung bangunan kilang tersebut.


“Pelapor merupakan security di bangunan tersebut dan memaklumkan gate pintu masuk tidak dapat di buka kerana berlaku litar pintas atau ‘power trip’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak bomba mengambil masa kira-kira empat jam bagi memadamkan sepenuhnya kebakaran di kilang terbabit.

Katanya, kebakaran terbabit memusnahkan 70 peratus struktur bangunan serta mesin yang terdapat di kilang terbabit.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut pada pagi tadi.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. — DayakDaily