Liputan bekalan elektrik luar bandar 98.6 peratus — Julaihi

Julaihi pada ucapan penggulungan kementerian di Kompleks DUS. Foto: Jabatan Penerangan
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 18 Nov: Liputan keseluruhan bekalan elektrik di seluruh Sarawak setakat ini 99.4 peratus, manakala liputan di luar bandar adalah 98.6 peratus.

Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata, Sarawak memerlukan peruntukan melebihi RM4 bilion untuk merealisasikan liputan penuh serta penambahbaikan bekalan elektrik.

Advertisement

“Kerajaan Sarawak telah menyediakan peruntukan sebanyak RM2.38 bilion di bawah ‘Alternative Funding’ untuk melaksanakan projek bekalan elektrik di kawasan luar bandar yang melibatkan 211 projek,” katanya.

Julaihi berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kementerian di Persidangan Dewan Undangan Sarawak (DUS) hari ini.

Daripada jumlah itu, tambah Julaihi, sebanyak 152 projek atau 72 peratus telah disiapkan, manakala 50 projek bersamaan 23.7 peratus sedang dalam peringkat pembinaan.

Baki sembilan projek atau 4.3 peratus sedang dalam peringkat tender dan dijangka bermula pada suku pertama tahun 2025.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa kapasiti penjanaan di Sarawak adalah sebanyak 5,745 Megawatt.

Manakala, permintaan tenaga elektrik setakat ini adalah sebanyak 4,720 Megawatt dan dijangka meningkat kepada 6,700 Megawatt pada tahun 2030.

“Sarawak menyasarkan kapasiti penjanaan 10,000 Megawatt bersamaan 10 Gigawatt menjelang tahun 2030.

“Seterusnya kepada 15 Gigawatt pada tahun 2035 melalui pelbagai sumber tenaga terutamanya tenaga boleh baharu,” ujar Julaihi.

Beliau juga berkata, pelaksanaan projek ‘Additional and Late Applicant Fund’ (ALAF) masih diteruskan untuk pemohon baharu yang dianggarkan sebanyak 30,600 isi rumah dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13).

Ujarnya, pelaksanaan projek ini dijangka melibatkan kos sebanyak RM550 juta. — DayakDaily

Advertisement