Liputan bekalan air Sarawak kini 83.6 peratus, kata Julaihi

Datuk Julaihi Narawi

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 24 Mei: Keseluruhan liputan bekalan air di Sarawak kini telah mencapai 83.6 peratus, kata Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi.

Menurut beliau, ia meliputi 99 peratus di kawasan bandar dan 66.9 peratus di kawasan luar bandar.


ā€œUntuk mencapai liputan penuh selaras dengan sasaran Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, Kementerian memerlukan peruntukan sejumlah RM21.24 bilion,ā€ katanya dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN di sini, hari ini.

Tambah Julaihi, kementerian juga telah melaksanakan 5 pakej projek Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) yang membekalkan air bersih kepada 572 isi rumah di Bahagian Sri Aman, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang.

Manakala di bawah program Projek Rakyat katanya, Kementerian sedang melaksanakan 22 buah pakej SAWAS dengan anggaran kos sebanyak RM135 juta yang akan memanfaatkan 1,548 isi rumah.

Ujar beliau, sejumlah RM4 bilion telah diperuntukkan di bawah Projek Rakyat untuk pembangunan Program Grid Bekalan Air Sarawak bagi menangani isu-isu bekalan air di kawasan terjejas teruk.

ā€œKebanyakan projek ini yang sedang dilaksanakan disasarkan siap menjelang akhir tahun 2023.

ā€œSetakat April 2022, sebanyak 288 daripada 297 projek bernilai kira- kira RM3.4 bilion telah dianugerahkan.

ā€œSebanyak 197 projek telah siap manakala 91 projek lagi di bawah pelbagai peringkat pelaksanaan.

ā€œBaki 9 projek masih dalam peringkat penilaian tender dan reka bentuk. Saya percaya dengan siapnya kesemua projek ini, kuantiti dan kualiti bekalan serta tekanan air di kawasan yang terjejas teruk akan bertambah baik dan mencukupi,ā€ katanya.

Dalam ucapan yang sama, Julaihi yang juga Adun Sebuyau berkata sebanyak 254 projek bekalan air yang bernilai RM4.51 bilion telah diluluskan untuk pelaksanaan dalam RMKe-12.

Daripada jumpah tersebut, sejumlah RM1.89 bilion dibiayai oleh Kerajaan Sarawak untuk pelaksanaan 4 projek baharu oleh Lembaga Air Kuching (LAK), 4 lagi projek baharu oleh Lembaga Air Sibu (LAS) dan 190 projek sambungan.

ā€œManakala, sejumlah RM2.62 bilion telah diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk membiayai 14 projek baharu dan 42 projek sambungan.

ā€œProjek-projek ini merangkumi kerja-kerja pembinaan loji rawatan air, tangki simpanan air, stesen pam penggalak dan pemasangan saluran paip.

ā€œSetelah siapnya projek- projek ini, saya yakin kita dapat meningkatkan kebolehharapan dan memperluaskan liputan bekalan air,ā€katanya. ā€” DayakDaily