Limbang dibangunkan dengan satu pelan induk jangka panjang — Abang Johari

Abang Johari menandatangani plaq perasmian Surau Darul Ehsan Tun Abang Haji Openg.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 3 Ogos: Kerajaan meneruskan program pembangunan di Bahagian Limbang menerusi satu pelan induk jangka panjang.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia turut melibatkan pembangunan di kawasan seberang Limbang.

“Apabila jambatan (Limbang) ini siap nanti, kita akan menyediakan satu pelan induk pembangunan yang baharu untuk Limbang.

“Umpamanya di kawasan seberang Limbang, kalau dah ada jambatan kita buat infrastrukturnya dan kita bangunkan tebingan sungai di seberang Limbang ini.

“Ini adalah satu pelan induk jangka panjang dan saya yakin dengan adanya jalan yang dibangunkan di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara sudah tentu Limbang dan Lawas dapat dihubungkan dengan jalan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Surau Darul Ehsan Tun Abang Haji Openg di Kampung Bunga Raya di Limbang hari ini.

Tambah Abang Johari, Limbang pada masa akan datang akan dihubungkan ke Miri menerusi satu rangkaian jalan yang melalui Marudi ke Long Terawan.

Dari Long Terawan, katanya, jalan tersebut akan disambung ke Gunung Mulu seterusnya ke Gunung Buda dan ke Limbang.

“Bermakna dari Miri ke Marudi terus ke Limbang boleh dihubungkan dengan satu sistem jalan raya.

“Ini adalah satu alternatif selain menerusi Brunei,” ujar Abang Johari. — DayakDaily