Limbang capai imuniti kelompok dengan 88 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi

Abang Johari pada Taklimat Pembangunan di Rumah Rehat Kerajaan bersempena lawatannya ke Bahagian Limbang hari ini (14 Ogos, 2021).

KUCHING, 14 Ogos: Bahagian Limbang kini telah mencapai imuniti kelompok dengan 88 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi Covid-19, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Di Bahagian Limbang, kita mempunyai 73,923 populasi dewasa yang layak menerima vaksinasi.

“Setakat ini, Limbang telah mencapai suntikan dos pertama 91 peratus dan kedua 88.3 peratus.

“Bermakna kita telah mencapai kejayaan dalam pemberian vaksinasi kepada penduduk di Limbang.

“Oleh sebab itu, Limbang telah mencapai imuniti kelompok kerana sasarannya adalah 80 peratus dan Limbang telah capai 88 peratus,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada sidang media selesai Taklimat Pembangunan di  Rumah Rehat Kerajaan bersempena lawatannya ke Bahagian Limbang hari ini.

Terdahulu, beliau turut melawat ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Suarah Limbang.

Pada sidang media yang sama, Abang Johari berkata kaedah pasport akan digunakan di pasar raya dan kedai makan.

Katanya, ia sejajar dengan pembukaan sektor ekonomi di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Tiga.

“Pasport ini sebagai dokumen yang menunjukkan individu sudah lengkap vaksin dua dos yang menggunakan kad dan terpaksa diproses menggunakan IT.

“Kita mengarahkan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) untuk memberi bantuan menyelaras dan menaiktaraf kelajuan internet untuk memproses pasport ini di kawasan strategik di Bahagian Limbang.

“Ini termasuk Lawas dan kawasan yang mempunyai populasi besar,” katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian. — DayakDaily