Lima tahanan nelayan warga Vietnam lolos: Usaha buru sedang giat dijalankan

Prison cell. — DayakDaily.com file pic. // Image by Ichigo121212 from Pixabay

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 15 Julai: Lima tahanan warga Vietnam yang diletakkan di bawah pengawasan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Miri, disedari hilang dipercayai melarikan diri awal pagi tadi.

Kejadian disedari sekitar jam 4.50 pagi oleh salah seorang pegawai APMM yang bertugas.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Satu laporan telah kita terima berhubung kejadian, dan pihak polis akan membantu APMM Miri untuk mengesan dan menahan kesemua lima tahanan warga Vietnam yang dilaporkan melarikan diri,” ujar Hakemal.

Berdasarkan laporan, kejadian disedari selepas seorang pegawai APMM melakukan pemeriksaan rutin awal pagi tadi di bilik tahanan tersebut dan mendapati jumlah tahanan tidak cukup seramai lima orang.

Siasatan awal mendapati beberapa geriji besi telah dipotong disyaki menjadi laluan tahanan melarikan diri.

Susulan kejadian, pihak APMM telah melakukan pencarian namun sehingga kini, belum ada penahanan atau penemuan dilakukan.

Kelima-lima lelaki warga Vietnam tersebut merupakan antara 13 nelayan warga asing yang ditahan pihak APMM Miri pada 28 Jun lalu kerana melakukan penangkapan ikan tanpa lesen atau permit di perairan negara ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 223 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan. — DayakDaily