This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 5 Jun: Seramai lima lelaki disyaki suspek dalam kes samun berkumpulan sebuah kedai makan di Batu 11 Jalan Matang, di sini ditangkap polis sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata empat suspek ditangkap di sebuah rumah di Jalan Arang pada 4 Jun sekitar jam 5.30 petang, manakala seorang lagi suspek ditangkap di sebuah kedai makan di Jalan Abell, Kuching pada jam 12.10 tengah malam tadi.
Kesemua suspek dianggarkan berusia 34 hingga 41 tahun dan merupakan warga tempatan.
“Dengan tertangkapnya suspek-suspek ini, kita percaya telah berjaya menyelesaikan beberapa kes samun dan rompak yang berlaku di kedai serbaneka dan kedai makan di sekitar kawasan Batu Kawah dan Matang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, tangkapan juga adalah kerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
Siasatan kes dijalankan di bWah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Pada 3 Jun lalu, pihak polis menerima laporan kes samun berkumpulan di sebuah kedai makan di Batu 11 Jalan Matang sekitar jam 12.30 tengah malam.
Dalam kejadian tersebut, suspek dipercayai seramai tujuh orang yang menutup muka dan membawa pelbagai senjata tajam serta tukul besi.
Kesemua suspek kemudian melarikan diri dengan menggunakan dua buah kenderaan.
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut. — DayakDaily