Oleh Dean Adam
KUCHING, Feb 11: Lima sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Lorong 4, Kampung Astana di sini musnah terbakar hari ini.
Kejadian pada pukul 12.15 tengah hari itu mengakibatkan sebuah rumah separuh kekal dua tingkat terbakar kira-kira 90 peratus.
Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, Wan Abdul Mubin Wan Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 12.18 tengah hari.
Menurutnya, sejurus itu sepasukan 26 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dan BBP Padungan telah bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.
“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar kediaman berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua penghuni rumah tersebut sempat keluar menyelamatkan diri mereka,” katanya di sini hari ini.
Wan Abdul Mubin menambah, tindakan pantas yang dilakukan oleh pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran itu daripada merebak ke rumah bersebelahan.
Katanya, kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
“Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily