Anggota JPJ maut dalam kemalangan

Kelihatan keadaan kemalangan melibatkan dua buah kenderaan.

Oleh Dean Adam

KOTA SAMARAHAN, Feb 11: Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menemui ajal selepas terlibat dalam kemalangan di KM 8, Jalan Kota Samarahan-Asajaya di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 7.50 pagi itu mengakibatkan mangsa, Saini Amit, 31, dari Kampung Lot Baru, Sebuyau disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan kecemasan di Hospital Jantung, Kota Samarahan.


Mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 9.30 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah Perodua Alza dan Toyota Hilux.

Katanya, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila Perodua Alza yang dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Toyota Hilux di laluan bertentangan.

“Impak kemalangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah sebelum dia dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Pemandu Toyota Hilux yang berusia 62 tahun pula mengalami kecederaan ringan sahaja dan diberi rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, mayat mangsa kemudian dibawa ke rumah mayat untuk dibedah siasat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. ā€” DayakDaily