– oleh Dean Adam
LAWAS, Okt 10: Lima sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Kampung Batu Mulong di sini musnah terbakar hari ini.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 2.25 petang itu, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Zaki Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 2.26 petang.
Jelasnya, sepasukan 10 anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.
“Sejurus tiba di kampung berkenaan, anggota bomba mendapati kebakaran tersebut melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal.
“Semasa kejadian empat ahli keluarga tersebut berada di rumah berkenaan, manakala si suami dikatakan sedang bekerja di luar,” katanya di sini hari ini.
Zaki menambah, kebakaran itu disedari apabila isteri kepada pemilik rumah tersebut terdengar bunyi letupan kecil di tingkat atas kediaman berkenaan.
Katanya, api kemudian merebak di bahagian siling dengan cepat dan keempat penghuni rumah segera keluar menyelamatkan diri.
“Namun, mereka gagal menyelamatkan pelbagai barangan serta dokumen penting kerana api marak dengan cepat.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan,” ujarnya. — DayakDaily