Lima pendaki di Gunung Bronang, Bau terkandas berjaya diselamatkan

Kumpulan pendaki terbabit bergambar bersama pasukan penyelamat.

BAU, 17 Okt: Sekumpulan pendaki terpaksa dibantu oleh pihak Bomba dan penduduk kampung selepas dilaporkan terkandas di Gunung Bronang, di sini semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan terdapat lima orang pendaki terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita terkandas pada jam 6.50 petang.

Katanya, kumpulan terbabit terkandas disebabkan hujan lebat dan keadaan cuaca yang gelap.


“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau mula bergerak ke lokasi pada jam 8.50 malam di mana anggaran jarak adalah kira-kira 5 kilometer untuk sampai.

“Kesemua mangsa berjaya dijumpai pada jam 10.09 malam dalam keadaan selamat dan mereka kemudian dibawa ke ‘starting point’ untuk diserahkan kepada keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Operasi menyelamat yang turut disertai penduduk kampung serta pihak polis ditamatkan pada jam 12.10 tengah malam. — DayakDaily