Lima nyaris maut, kereta jatuh gaung

Anggota bomba membantu mangsa yang cedera.
Advertisement

Oleh Dean Adam

BAU, Okt 21: Lima sekawan nyaris maut selepas sebuah kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu terhumban ke dalam gaung sedalam kira-kira lima meter di Jalan Kampung Skiat di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, kesemua individu terbabit hanya mengalami kecederaan ringan.

Advertisement

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau, Tiwi Nios berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.35 malam.

Jelasnya, sejurus itu, sepasukan sembilan anggota bomba dari BBP Bau bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati sebuah kereta Perodua Viva berada di dalam gaung.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua individu yang menaiki kereta itu telah keluar dari kenderaan dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya di sini hari ini.

Tiwi menambah, pasukan bomba kemudian memberi rawatan awal kepada seorang mangsa yang sakit di bahagian punggungnya sebelum diserahkan kepada petugas perubatan.

Katanya, semua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Bau untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada pukul 12.03 tengah malam,” katanya. — DayakDaily

Advertisement