Lima nyaris maut dalam nahas dua kenderaan

Kelihatan keadaan di lokasi kemalangan melibatkan dua kenderaan.

Oleh Dean Adam

BAU, Jun 27: Lima individu nyaris maut selepas terbabit dalam nahas jalan raya membabitkan dua kenderaan di Jalan Kampung Bogag di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.35 pagi itu, dua orang cedera termasuk seorang patah kaki kanan, manakala tiga lagi mengalami kecederaan ringan.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung dengan kemalangan itu pada pukul 11.38 pagi.

Katanya, sepasukan 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarawak kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

Kelihatan keadaan di lokasi kemalangan melibatkan dua kenderaan.

“Apabila tiba di lokasi, komander operasi melaporkan kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta Toyota Vios dan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

“Pemeriksaan mendapati, terdapat dua mangsa masih tersepit di dalam kereta Toyota Vios berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Katanya, kedua-dua mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Bau untuk menerima rawatan kecemasan.

“Operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada pukul 12.20 tengah hari,” katanya. — DayakDaily