Lima nyaris maut dalam kemalangan babitkan dua kenderaan

Keadaan kemalangan membabitkan dua buah kenderaan.

Oleh Dean Adam

SERIAN, Feb 5: Lima individu nyaris maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di simpang Jalan Serian Bypass di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu melibatkan masing-masing sebuah kereta Perodua Myvi dan kenderaan pacuan roda jenis Mitsubishi Pajero.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 1.32 petang.

Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian pasukan bomba mendapati seorang wanita yang memandu Perodua Myvi mengalami kecederaan, namun tidak tersepit.

Anggota bomba membantu mangsa yang cedera.
Pasukan bomba mengangkat mangsa yang cedera.

“Empat lagi individu yang menaiki Mitsubishi Pajero pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa dan memberi rawatan awal kepadanya,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, wanita berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Serian untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 2.10 petang,” ujarnya. — DayakDaily