Lima lelaki ditahan disyaki terlibat dadah di Kampung Bidi, Bau

Suspek-suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Bau untuk tindakan selanjutnya.

BAU, 26 April: Lima lelaki tempatan ditangkap disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah di Kampung Bidi di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata pihaknya telah membuat satu serbuan ke atas sebuah rumah di kampung tersebut sekitar jam 9.45 pagi.

Jelasnya, hasil pemeriksaan menemui kelima-lima suspek yang berusia lingkungan 19 hingga 23 tahun disyaki sedang leka menghisap dadah.


“Kesemua suspek sebelum ditangkap disyaki bersama-sama mengunakan (mengambil) dadah.

“Turut dijumpai ialah saki baki dadah jenis syabu di dalam rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kesemua suspek masing-masing berasal dari Kampung Blimbin dan Kampung Fairy di Bau.

Tambahnya, kesemua suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk siasatan lanjut.

“Hasil ujian air kencing juga mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Malah tiga daripadanya didapati mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. — DayakDaily