JPNS: Tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai yang bocorkan maklumat jabatan

Social media applications on a mobile phone. — DayakDaily.com file pic

KUCHING, 26 April: Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) akan mengambil tindakan tegas terhadap pegawainya yang didapati membocorkan maklumat-maklumat terperingkat jabatan.

Pengarahnya Dr Norisah Suhaili berkata, perbuatan membocorkan atau mengedarkan apa-apa maklumat terperingkat tersebut disifatkan sebagai ingkar arahan.

Kebelakangan ini katanya, jabatan mendapati terdapat insiden pembocoran maklumat terperingkat kerajaan kepada pihak yang tidak berkenaan melalui aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (lCT) dan media sosial seperti WhatsApp, Facebook dan sebagainya.


“Jabatan memandang serius terhadap perkara ini dan tidak akan bertolak ansur untuk mengambil tindakan tegas terhadap pegawai awam yang didapati membocorkan dokumen tersebut.

“Perkara ini adalah selaras dengan pedaran pemakluman mengenai kesalahan membocorkan maklumat terperingkat kerajaan dari Jabatan Perkhidmatan Awam bertarikh 31 Mei 2016,” katanya.

Norisah berkata demikian dalam satu surat pekeliling kepada timbalan pengarah, ketua penolong pengarah, ketua kaunselor pendidikan negeri dan semua pegawai pendidikan negeri bertarikh 26 April 2021.

Tambah beliau lagi, perbuatan membocorkan maklumat terperingkat Kerajaan merupakan suatu bentuk pengkhianatan kepada negara dan merupakan suatu kesalahan jenayah berat di bawah seksyen I Akta Rahsia Rasmi 1972.

Menurut beliau, penyaluran apa-apa maklumat terperingkat yang boleh mengundang pelbagai tanggapan dan reaksi negatif orang ramai tentang perjalanan suatu tadbir urus kerajaan merupakan suatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

“Penjawat awam sewajarnya maklum dan sentiasa diperingatkan bahawa penjagaan rahsia kerajaan dan maklumat-maklumat terperingkat merupakan suatu bentuk arahan yang telah sedia termaktub dalam Arahan Keselamatan,” ujar Norisah.

Di samping itu, beliau juga berkata bahawa jabatan mendapati berlaku kebocoran maklumat semasa atau selepas keputusan sesuatu mesyuarat telah disebarkan melalui media sosial tanpa kebenaran.

Jelas beliau, pejabat ketua pegawai keselamatan Kerajaan Malaysia telah mengedarkan Garis Panduan Larangan Penggunaan Telefon Bimbit Atau Lain-Lain Peralatan Komunikasi Dalam Mesyuarat Kerajaan melalui surat pada 31 Januari 2019.

“Berdasarkan garis panduan tersebut, Ketua Jabatan hendaklah memastikan aspek kawalan dan had penggunaan telefon bimbit atau lain-lain peralatan komunikasi dikuatkuasakan ketika sesuatu mesyuarat sedang berlangsung.

“Kegagalan mematuhi larangan yang dikuatkuasakan boleh mengakibatkan rahsia rasmi kerajaan terdedah kepada ancaman kebocoran maklumat sehingga boleh menjejaskan imej pentadbiran Kerajaan dan amat dikhuatiri akan mengancam keselamatan negara,” katanya.

Justeru, Norisah mengingatkan semua warga JPNS termasuk di Pejabat Pendidikan Daerah dan di sekolah agar menggunakan aplikasi ICT dan media sosial dengan penuh berintegriti dan berhemah tanpa mengira penggunaan secara rasmi atau peribadi bagi mengelakkan kebocoran maklumat terperingkat dan penyebaran maklumat tidak sahih.

Sekiranya perkara ini berlaku, tegas beliau, tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 akan diambil.

“Setelah dibuktikan kesalahannya dan boleh dikenakan tindakan tatatertib sehingga hukuman buang kerja.

“Pegawai juga boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah mana-mana undang-undang yang berkaitan,” ujar Norisah. — DayakDaily