Lima koperasi Sarawak tersenarai 100 terbaik di Malaysia tahun ini

Awang Tengah (duduk lapan dari kanan) hadir Mesyuarat Pertama Majlis Perundingan Koperasi Negeri. Foto: TVS
Advertisement

Oleh DayakDaily Team

KUCHING, 28 Ogos: Lima koperasi di Sarawak tersenarai dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia pada tahun ini dengan mencatatkan perolehan mencecah RM93.5 juta.

Menurut laporan TVS, koperasi berkenaan ialah Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad, Koperasi Penanam Sawit Mampan Daerah Bau Berhad, Koperasi Al-Bait Sarawak Berhad, Koperasi Sesco Sarawak Berhad dan Koperasi Penanam Sawit Mampan Daerah Tatau Berhad.

Advertisement

Pengumuman berhubung pencapaian kelima-lima koperasi itu dibuat oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Mesyuarat Pertama Majlis Perundingan Koperasi Negeri (MPKN) Sarawak 2024.

MPKN Sarawak bertujuan untuk menyelaras gerakan koperasi dan mendapatkan maklum balas mengenai kemajuan terkini berkaitan gerakan koperasi daripada anggota majlis.

Seramai 26 orang ahli menganggotai MPKN Sarawak serta turut diwakili oleh 10 wakil dari agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melibatkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) selaku urus setia, tujuh wakil gerakan koperasi dan 10 wakil kementerian, jabatan dan agensi persekutuan dan Sarawak.

Terdahulu, Awang Tengah memaklumkan jumlah di koperasi Sarawak sehingga Disember 2023 telah mencecah 1,190 buah dengan keanggotaan melebihi 313,917 orang.

Jumlah perolehan koperasi pula berjumlah RM368.97 juta. — DayakDaily

Advertisement