Lima dilaporkan cedera dalam kemalangan di Jalan Pesisir Bintulu-Miri

Operasi di lokasi kejadian.

BATU NIAH, 24 April: Sekurang-kurangnya lima lelaki dilaporkan cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Persisir Bintulu-Miri hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 12.31 tengah malam.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Setibanya di lokasi kejadian didapati benar berlaku kemalangan membabitkan dua kenderaan jenis Perodua Viva dan Proton Iswara.

“Kesemua mangsa dilaporkan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak Bomba,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Difahamkan kereta Perodua Viva dinaiki empat individu termasuk dua kanak-kanak dan Proton Iswara dinaiki empat orang lelaki.

“Mangsa-mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital menggunakan ambulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Pasukan Bomba kemudian berangkat balik ke balai selepas selesai tugas di lokasi kemalangan. — DayakDaily