LHDNM: Permohonan BPR adalah percuma

Signature. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 8 Feb: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) menegaskan bahawa permohonan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) adalah percuma.

Menerusi satu kenyataan hari ini, LHDNM berkata, tiada sebarang bayaran yang akan dikenakan kepada setiap pemohon.

“LHDNM juga tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk memberikan khidmat pengisian borang BPR tersebut,” katanya.


Menurut kenyataan itu, setiap permohonan yang diterima sama ada secara dalam talian mahu pun secara borang kertas akan disemak mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

Kata LHDNM, tiada keistimewaan tertentu yang akan diberikan kepada setiap permohonan.

Baru-baru ini LHDNM ada menerima aduan berkenaan kewujudan pihak-pihak tertentu yang mengenakan bayaran bagi khidmat pengisian borang permohonan BPR.

“Sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) yang diamanahkan untuk mengelola bantuan khas kerajaan ini, LHDNM ingin menegaskan bahawa permohonan BPR ini adalah percuma,” tegas LHDNM.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan perkara ini boleh dimajukan kepada LHDNM melalui Talian Hotline BPR LHDNM 1-800-88-2747 atau HASiL Live Chat, atau melalui Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/. — DayakDaily