LHDNM: Penerima BSH dan pembayar cukai B40 tidak perlu daftar pohon BPN

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

KUCHING, 1 Apr: Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan golongan M40 yang telah mempunyai data cukai pendapatan dengan LHDNM tidak perlu membuat pendaftaran bagi permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

LHDNM menerusi kenyataan hari ini berkata penerima BSH layak menerima BPN secara automatik.

“Manakala golongan M40 yang mempunyai data cukai pendapatan dengan LHDNM pula akan dinilai berdasarkan jumlah pendapatan dan kriteria lain yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” menurut LHDNM.


LHDNM juga memaklumkan bahawa semakan status penerimaan BPN boleh dilakukan secara dalam talian mulai hari ini dengan melayari portal rasmi LHDNM di https://www.hasil.gov.my atau https://bpn.hasil.gov.my.

Sekiranya status semakan adalah ‘tiada rekod’, orang ramai boleh membuat permohonan baharu dengan klik butang ‘Permohonan Baru’.

Permohonan baharu secara dalam talian adalah dibuka sehingga 30 April 2020.

LHDNM menyeru orang ramai hanya perlu mengikuti 3 langkah mudah seperti berikut untuk semakan penerimaan BPN.

Pertama, masukkan Nombor Kad Pengenalan, kedua masukkan kod captcha yang diberikan dan ketiga keputusan akan dipaparkan.

“Orang ramai diingatkan bahawa tiada permohonan secara manual menggunakan borang setakat ini memandangkan semua premis LHDNM ditutup sementara sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat,” katanya.

Bagi permohonan yang tidak berjaya, LHDNM berkata rayuan boleh dikemukakan secara dalam talian dengan melayari portal rasmi LHDNM di https://www.hasil.gov.my atau https://bpn.hasil.gov.my bermula 03 April 2020.

Memandangkan trafik capaian ke portal-portal rasmi yang dinyatakan di atas adalah amat tinggi buat masa ini, orang ramai mungkin menghadapi kesukaran untuk membuat semakan.

Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan di luar waktu puncak.

LHDNM memaklumkan bahawa bayaran akan dilakukan secara berperingkat pada bulan April dan Mei 2020. —DayakDaily.