Covid-19: Dua kematian, 142 kes positif baharu

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, April 1: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat dua lagi kes kematian akibat Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia sebanyak 45 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian ke-44 membabitkan wanita tempatan berumur 80 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi serta penyakit jantung.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 iaitu kes ke-115.


“Mangsa telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 13 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada jam 4.30 pagi Selasa,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Manakala kes kematian ke-45, tambah beliau, adalah membabitkan lelaki tempatan berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis serta darah tinggi.

Katanya, beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 (kes ke-486).

“Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 17 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada jam 10.46 malam Selasa,” ujar Dr Noor Hisham.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan bahawa terdapat sebanyak 142 kes baharu dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 2,908 kes.

Menurut beliau, 102 daripada jumlah itu sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 66 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Disamping itu tambah Dr Noor Hisham, terdapat 108 pesakit yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya sebanyak 645 kes atau bersamaan 22.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. — DayakDaily