LUNDU, 11 Jan: Seorang pekerja di sebuah resort di Lundu dikejarkan ke Hospital Lundu kerana tercedera terkena letupan pagi tadi.
Lelaki berusia 30 tahun itu semasa kejadian dikatakan sedang melakukan pembersihan kolam renang di resort berkenaan apabila tiba-tiba berlaku letupan membabitkan bahan klorin.
Rakan sekerjanya yang melihat kejadian tersebut kemudian segera membantu mangsa dan turut menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak.
Jurucakap Bomba mengesahkan ada menerima laporan pada jam 9.16 pagi dan anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat Lundu dikerahkan ke lokasi kejadian.
Bagaimanapun, setibanya anggota Bomba di lokasi kejadian didapati mangsa telah dikejarkan ke Hospital Lundu untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, mangsa mengalami kecederaan di muka dalam insiden tersebut.
Pasukan Bomba kemudian hanya membuat pembersihan dan memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum berangkat balik ke balai. — DayakDaily