Lepasan SPM, STPM dijemput hadir ke DTTAS Education Fair 2022

Jacqueline Martin

KUCHING, 5 Sept: Lepasan SPM dan STPM yang masih belum mempunyai perancangan melanjutkan pengajian atau masih mencari bidang kemahiran yang diinginkan digalakkan hadir ke DTTAS Education Fair 2022 pada 16 dan 17 September ini.

Siri kedua pameran pendidikan yang dianjurkan oleh Dayak Think-Tank Association Sarawak (DTTAS) tersebut akan berlangsung di Dewan Komuniti Sibu Jaya, Sibu, bermula pukul 9 pagi hingga pukul 5 petang.

Sekretariat Education Fair 2022 Sibu, Jacqueline Martin berkata, ada lepasan SPM dan STPM pada masa ini berjaya mendapat tempat tetapi gagal mendapat pusat pengajian tinggi atau kursus yang diharapkan, sebaliknya diberi pilihan lain di luar bidang yang diminati. Tidak kurang pula yang gagal sama sekali.


Dia juga menyebut isu pelajar lepasan SPM yang enggan melanjutkan pengajian selepas tamat Tingkatan 5 di mana Jabatan Perangkaan melaporkan sebanyak 72.1 peratus atau 390,000 lepasan SPM tidak berbuat demikian pada tahun 2021.

“Masih ada sebilangan kanak-kanak dan remaja di negara ini tidak pernah bersekolah atau tidak mempunyai pendidikan langsung sehingga dikhuatiri menjadi golongan yang tercicir daripada peningkatan kemahiran serta menjejaskan bekalan tenaga kerja negara.

“Ia adalah hasil kaji selidik Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2019 yang mendapati 5.8 peratus daripada kira-kira 32 juta populasi rakyat Malaysia tidak bersekolah atau tercicir daripada sistem pendidikan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut memberitahu sekiranya masih ramai pekerja yang mempunyai kemahiran yang rendah, perkara itu akan menyebabkan produktiviti, inovasi dan daya saing menurun.

“Ini tentu menyebabkan peluang pekerjaan baharu sukar diwujudkan dan memberi kesan terhadap gaji pekerja yang rendah.

“Ini kerana ketiadaan kemahiran tinggi serta pengetahuan tertentu akan mendorong kepada kekurangan pakar dalam negara dan perkara itu akan menyukarkan pasaran buruh mewujudkan lebih banyak pekerjaan baharu bersama kadar gaji yang lebih tinggi,” katanya lagi. — DayakDaily