KUCHING, 6 Dis: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N41 Kuala Rajang Datu Talif @ Len Salleh dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) bakal menghadapi tiga pencabar bagi mempertahankan kerusi tersebut.
Pada Pilihanraya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) ini, Len dicabar dua calon bebas iaitu Dato Sri Abang Aditajaya Abang Alwi dan Abdul Mutalip Abdullah.
Seorang lagi pencabar ialah Wong Ling Ching yang bertanding di atas tiket Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Pada proses penamaan calon hari ini, Len tiba di Dewan IKS Tanjung Manis bersama pencadang Pengiran Omar Ali dan penyokong Gelima Naok.
Abang Aditajaya kelahiran Sibu diiringi pencadang Abdullah Hamat dan penyokong Arbaie Bakree manakala Abdul Mutalip yang berasal dari Sarikei bersama pencadang Abdul Kadir Abdullah dan Apil Julak sebagai penyokong.
Wong Ling juga dari Sibu tiba bersama pencadang Suhaini Sama dan penyokong Hazaria Hipni.
Pada PRN Sarawak 2016, Len meraih 6,235 undi untuk menewaskan calon Amanah Sopian Junaidi yang memperoleh 649 undi dan calon Bebas Asbor Abdullah yang mengutip 153 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan (PRN-12) Sarawak diadakan pada 18 Dis depan, manakala pengundian awal diadakan pada 14 Dis. — DayakDaily